Mahasiswa UMS, Universitas Brawijaya perkukuh kerjasama rentas negara
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Brawijaya, Indonesia terus memperkukuh hubungan kerjasama rentas negara menerusi penganjuran Program Madani Merentas Nusantara di Banyuwangi, Indonesia, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober 2026 itu menjadi platform mempererat hubungan Malaysia dan Indonesia melalui penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan, khidmat komuniti serta pertukaran budaya.
Pegawai Penyelaras Kelab Mahasiswa Madani UMS, Jumrat Minsun berkata, program berkenaan bertujuan membina jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi selain memupuk nilai kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Menurutnya, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut memberikan pendedahan secara langsung mengenai keperluan komuniti setempat serta kepentingan peranan golongan muda dalam pembangunan masyarakat.
“Program ini juga menjadi wadah perkongsian ilmu dan pertukaran budaya antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia, di samping melaksanakan aktiviti berimpak kepada masyarakat selaras dengan agenda pembangunan mampan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Madani Merentas Nusantara, Nurulhuda Nabilah Abdul Aziz berkata, kerjasama Universitas Brawijaya bersama komuniti setempat memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Direktorat Riset dan Pengabdian kepada Masyarakat Universitas Brawijaya atas komitmen serta sokongan yang diberikan sepanjang penganjuran program itu.
“Penghargaan turut diberikan kepada komuniti setempat termasuk MEM Sechang, POKMAS Bumi Karya dan Kalipuro Research Centre yang menerima kehadiran delegasi UMS serta membantu pelaksanaan aktiviti di lapangan,” katanya.
Nurulhuda berharap kerjasama yang terjalin dapat diteruskan pada masa hadapan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa kedua-dua negara untuk memperoleh pengalaman antarabangsa dan menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Katanya, program seumpama itu juga mampu memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan pelaksanaan aktiviti kesukarelawanan.
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Direktur Direktorat Riset dan Pengabdian kepada Masyarakat Universitas Brawijaya, Prof. Luchman Hakim.
— SABAH NEWS TODAY

