NRES peruntuk RM600,000 perkasa infrastruktur, kemahiran belia di Nabawan
NABAWAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur komuniti dan meningkatkan kemahiran golongan belia di Kampung Murni A, di sini, menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI 2026.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif tanpa meminggirkan masyarakat luar bandar dan pedalaman.
Menurut beliau, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi melaksanakan dua projek utama, iaitu pembinaan semula dewan komuniti serta menaik taraf gelanggang futsal untuk manfaat penduduk kampung.
“Penyediaan dewan serba guna yang selesa membolehkan masyarakat berkumpul, berbincang dan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Gelanggang futsal yang lengkap dan selamat pula diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat, selain menjadi platform kepada golongan belia untuk mengembangkan bakat dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI NRES 2026 di Kampung Murni A, Nabawan.
Arthur berkata, selain pembangunan fizikal, NRES turut memperuntukkan RM100,000 bagi pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pendekatan On-The-Job Training (TVET-OTJT).
Katanya, program yang dilaksanakan dengan kerjasama GIATMARA Keningau itu memberi peluang kepada belia tempatan memperoleh latihan praktikal dan kemahiran teknikal dalam bidang tenaga solar.
“Hasil latihan berkenaan, golongan belia kampung berjaya memasang 25 tiang lampu solar di beberapa laluan strategik sekitar kampung.
“Pemasangan lampu ini bukan sahaja membantu meningkatkan keselamatan penduduk, khususnya wanita dan kanak-kanak pada waktu malam, malah menjimatkan penggunaan tenaga serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, peserta turut memperoleh sijil dan kemahiran teknikal yang boleh dimanfaatkan untuk meneroka peluang kerjaya dalam sektor tenaga boleh baharu.
Dalam pada itu, Arthur mengingatkan penduduk bahawa segala kemudahan yang disediakan merupakan aset bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berharap pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat memperkukuh perpaduan masyarakat, menyuburkan semangat gotong-royong serta melahirkan generasi muda yang lebih berkemahiran dan berdaya saing.
“NRES akan terus mendampingi masyarakat serta mendengar keperluan rakyat, khususnya di Nabawan dan kawasan pedalaman Sabah, bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

