Pan Borneo Sabah lewat, jangan hanya salahkan kerajaan negeri – Salleh
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kerana ia turut membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan di peringkat Persekutuan.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pelaksanaan projek berskala besar itu memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti.
Katanya, lebih 70 peratus projek berkenaan membabitkan kerja pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong.
Menurutnya, kerja itu turut melibatkan proses pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti yang memerlukan penyelarasan pelbagai agensi.
“Antara punca utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak.
“Keadaan ini memerlukan penelitian dan penyelarasan pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Salleh berkata, setiap perubahan reka bentuk juga berpotensi meningkatkan kos projek, sekali gus memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada KKR dan Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya, proses kelulusan yang mengambil masa panjang turut menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KKR dan MOF menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih pantas dan jelas, khususnya membabitkan Arahan Perubahan Kerja (VO) serta pelarasan had kewangan.
Menurutnya, mekanisme itu wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui Perjanjian Tambahan bagi mengelakkan kelewatan sama berulang.
Salleh menegaskan, setiap pihak yang terbabit perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing, bukannya meletakkan kesalahan kepada kerajaan negeri semata-mata.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan semua pihak kini seharusnya tertumpu kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat Sabah tanpa terus dibelenggu kelewatan.

