Pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik
SANDAKAN: Seorang pekerja kontraktor elektrik berusia 30 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan tiba di lokasi pada jam 8.03 malam.
Komander Operasi, PBK II Sahat Salam berkata, sebaik tiba, pasukan mendapati mangsa masih berada di atas tiang elektrik.
“Pihak Sabah Electricity terlebih dahulu memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi menurunkan mangsa dijalankan.
“Mangsa kemudian berjaya diturunkan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi.
Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 9.40 malam selepas keadaan disahkan selamat.

