Pelajar ulang kaji guna cahaya lilin, tiga asrama sekolah di Tongod bergelap
TONGOD: Pelajar di tiga sekolah menengah berasrama di daerah ini terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan cahaya lilin susulan gangguan bekalan elektrik sejak minggu lalu.
Keadaan itu membimbangkan ibu bapa dan guru, terutama ketika pelajar sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Penangah dan SMK Entilibon.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata gangguan itu dipercayai berpunca daripada kerosakan dua transformer utama yang membekalkan elektrik ke daerah berkenaan.
Katanya, keadaan semakin membimbangkan apabila bangunan asrama pelajar bergelap pada waktu malam sehingga menjejaskan aktiviti pembelajaran.
“Saya mendapat aduan daripada guru dan ibu bapa bahawa pelajar terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan cahaya lilin di asrama dan rumah sejak minggu lalu kerana ketiadaan bekalan elektrik.
“Saya menggesa pengurusan Sabah Electricity menambah bilangan set janakuasa bergerak di tiga sekolah terbabit bagi membolehkan pelajar, khususnya calon SPM dan STPM, mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa,” katanya dalam kenyataan.
Masiung berkata, walaupun empat unit set janakuasa bergerak dengan kapasiti keseluruhan dilaporkan 2,000 kilowatt (kW) sudah digerakkan sebagai bekalan sementara, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan elektrik di Tongod.
Menurutnya, beliau dimaklumkan pihak Sabah Electricity di Telupid bahawa transformer utama yang membekalkan tenaga ke daerah berkenaan mengalami kerosakan sejak minggu lalu.
Katanya, beliau turut menghubungi pejabat syarikat utiliti itu kelmarin bagi mendapatkan penjelasan dan memohon tambahan janakuasa sementara kerja pembaikan dilaksanakan.
“Saya berharap keutamaan diberikan kepada tiga sekolah berasrama ini kerana pelajar memerlukan bekalan elektrik untuk belajar, terutama menjelang peperiksaan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kuamut, Tokyo Hasim Omar, berkata gangguan bekalan elektrik di Tongod bukan perkara baharu kerana masalah sama dilaporkan kerap berlaku sejak bulan lalu.
Katanya, gangguan berulang turut menjejaskan urusan pentadbiran beberapa jabatan kerajaan di daerah berkenaan.
Beliau berpandangan kapasiti transformer sedia ada mungkin tidak lagi mampu menampung peningkatan permintaan elektrik susulan pertambahan bangunan kerajaan dan rumah penduduk.
Sehubungan itu, Tokyo menggesa Sabah Electricity mempertimbangkan penggantian transformer dengan unit baharu berkapasiti lebih besar bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil.
Setakat ini, punca teknikal kerosakan dan tempoh pemulihan bekalan elektrik belum disahkan secara rasmi oleh Sabah Electricity.

