Pembangunan ekonomi Sabah perlu diperluas ke setiap daerah

SEMPORNA: Kerajaan negeri mahu pembangunan ekonomi Sabah diperkasa secara lebih menyeluruh dengan memastikan setiap daerah menerima peluang pembangunan mengikut potensi dan kekuatan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pembangunan tidak wajar hanya tertumpu di Kota Kinabalu atau bandar besar kerana daerah-daerah lain turut mempunyai aset dan kekuatan ekonomi yang boleh dikembangkan.

Beliau berkata, Semporna misalnya mempunyai kelebihan besar dalam sektor pelancongan, namun kekuatan itu perlu disokong oleh pembangunan komersial, aktiviti perniagaan dan penyertaan lebih luas usahawan tempatan.

“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun, untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersil Fasa 2 dan 3 LPPB Sabah di Jalan Bubul, di sini.

Hajiji berkata, pembangunan komersial di Jalan Bubul mempunyai potensi untuk menjadi antara pemangkin baharu ekonomi Semporna kerana kedudukannya yang strategik di laluan utama Balung-Semporna.

Menurutnya, pertumbuhan sektor pelancongan perlu disepadukan dengan perniagaan tempatan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan aktiviti keusahawanan serta memastikan manfaat ekonomi dinikmati masyarakat setempat.

Beliau turut mencadangkan pembinaan sebuah jeti di kawasan pembangunan itu bagi meningkatkan daya tarikan dan nilai komersial kawasan berkenaan.

Katanya, Sabah kini memasuki fasa baharu pembangunan menerusi Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan fokus meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan serta menarik pelaburan berkualiti yang mampu memberi limpahan ekonomi lebih besar kepada rakyat.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.

Beliau menegaskan, pembangunan masa depan Sabah perlu memastikan kemajuan dapat dirasai oleh masyarakat bandar dan luar bandar, usahawan besar dan kecil serta generasi muda di seluruh negeri.

Berita Berkaitan