Pemimpin akar umbi perlu tangkis berita palsu, fitnah terhadap kerajaan – Masiung

TONGOD: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi perlu melengkapkan diri dengan maklumat tepat bagi menangani penyebaran berita palsu dan dakwaan tidak berasas berkaitan pentadbiran serta projek pembangunan kerajaan.

ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pemimpin masyarakat termasuk pengamal adat, Pemaju Masyarakat dan Pemaju Mukim bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada penduduk mengenai isu yang dibangkitkan, khususnya menerusi media sosial.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung juga perlu mengikuti kursus dan latihan bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap dasar serta program kerajaan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin di peringkat daerah yang cuba memainkan isu kritikal untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Amanat ADUN Kuamut di Dewan Majlis Daerah Tongod, semalam.

Masiung mendakwa terdapat penyokong pembangkang yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan persepsi negatif terhadap kerajaan, terutama membabitkan isu kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan dakwaan atau hantaran media sosial yang dimaksudkan.

Menurutnya, pemimpin akar umbi perlu memahami proses perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan sebelum memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai isu bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Katanya, projek pembangunan luar bandar memerlukan perancangan teliti dan tidak boleh dilaksanakan serta-merta.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO berkata, pemimpin masyarakat yang dilantik atau dipilih perlu sentiasa mengikuti perkembangan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Berita Berkaitan