Penduduk buat laporan polis berhubung kerja ubah suai hujung minggu

Seorang penduduk sebuah kediaman servis mewah di Kota Kinabalu membuat laporan polis selepas mendakwa kerja ubah suai berhampiran kediamannya menimbulkan bunyi bising dan mengganggu waktu rehat pada hujung minggu.

Tony Koh berkata beliau membuat laporan di Balai Polis Karamunsing selepas bunyi bising didakwa mula kedengaran sekitar 9.30 pagi berhampiran Blok B di tingkat tiga kediaman berkenaan.

Menurut Tony, yang juga bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, bunyi itu dipercayai berpunca daripada kerja ubah suai di lot parkir aras tiga atau empat sebuah pusat beli-belah berhampiran.

Beliau berkata laporan itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap gangguan berkenaan.

“Saya sebagai penduduk di kawasan ini membuat aduan kepada polis supaya kerja itu dihentikan kerana ia mengganggu waktu rehat saya pada hari Ahad.

“Kerja-kerja seperti ini tidak sepatutnya dijalankan pada hari Ahad kerana mengganggu ketenteraman penduduk yang sedang berehat,” katanya.

Tony turut memuji tindakan pihak polis yang hadir membuat rondaan di kawasan berkenaan selepas laporan dibuat.

Beliau berharap pihak pemaju dan pengurusan pusat beli-belah dapat mengambil tindakan sewajarnya serta memastikan kerja ubah suai tidak dilakukan pada hari Ahad bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk.

Berita Berkaitan