Penunggang motosikal maut bertembung kereta di Pan Borneo
PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 30, Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Papar-Beaufort, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama seorang penumpang sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Beaufort.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan kereta terbabit sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu dan penumpang kereta berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Heryan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, terutama ketika memasuki atau melintasi laluan kenderaan lain.
“Penunggang motosikal dan pemandu perlu sentiasa peka terhadap pergerakan trafik, mengekalkan jarak keselamatan serta mengelakkan sebarang tindakan berisiko.
“Ingatlah, kecuaian sesaat mampu meragut nyawa dan meninggalkan kesedihan berpanjangan kepada keluarga. Utamakan keselamatan supaya setiap perjalanan berakhir dengan selamat,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

