Penunggang motosikal maut bertembung pacuan empat roda

SEMPORNA: Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 22, Jalan Semporna-Tawau pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan dua lelaki warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda dipandu lelaki berusia lingkungan 50-an bertembung dengan motosikal mangsa yang keluar dari sebuah simpang.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Semporna, Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020.

Tan turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhati-hati.

Berita Berkaitan