Penunggang motosikal maut terbabas ke dalam parit berbatu
PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal berusia 41 tahun maut selepas kenderaan ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berbatu di Jalan Sapulut-Tambunan berhampiran Kampung Notorus, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal di lokasi berkenaan pada 9 November 2026.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ditungganginya sebelum terbabas sendiri.
“Motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berbatu.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sammy berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Dalam pada itu, Sammy menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan, mengawal kelajuan kenderaan serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
— SABAH NEWS TODAY

