Penyenaraian bukan noktah, syarikat perlu kekal berkembang

KUALA LUMPUR: Penyenaraian di pasaran modal bukan ukuran terakhir kejayaan sesebuah syarikat apabila cabaran sebenar adalah mengekalkan pertumbuhan selepas menjadi syarikat awam, kata Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau.

Berkongsi pengalaman pada Listing Strategy Summit, Lau berkata perjalanan selama 26 tahun mengurus perniagaan keluarga memberinya perspektif mengenai pewarisan, tadbir urus korporat, penyenaraian dan strategi pertumbuhan jangka panjang.

Lau yang juga Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah merupakan pewaris generasi ketiga perniagaan keluarganya.

Dalam sesi bertajuk Family Succession, Sustaining Breakthrough Growth, beliau berkata kesinambungan perniagaan keluarga tidak boleh bergantung kepada pemindahan ekuiti semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ia memerlukan sistem yang menggabungkan pemilikan, pengurusan, operasi perniagaan dan nilai yang diwarisi antara generasi.

Dari guaman ke dunia korporat

Lau berkata beliau meninggalkan kerjaya dalam bidang guaman untuk menyertai perniagaan keluarga walaupun keputusan itu pada awalnya mendapat tentangan daripada keluarganya.

Beliau kemudian memilih mempelajari operasi syarikat dari peringkat bawahan sebelum mengambil tanggungjawab lebih besar.

“Jika kita benar-benar memberi hati, kekal rendah diri dan turun padang, saya percaya hala tuju akan datang dengan sendirinya,” katanya.

Menurut Lau, penyenaraian juga bukan sebahagian daripada rancangan awalnya ketika menyertai perniagaan keluarga.

Keputusan membawa syarikat ke pasaran modal katanya, muncul secara berperingkat apabila hala tuju dan keperluan perniagaan semakin jelas.

“Anda tidak boleh berhenti separuh jalan. Anda mesti teruskan hingga selesai,” katanya mengenai cabaran proses penyenaraian.

Pertumbuhan selepas disenaraikan

Lau berkata tekanan sebenar bermula selepas sesebuah syarikat disenaraikan apabila pengurusan perlu memastikan momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.

Menurutnya, pendekatan jangka panjang kadangkala menuntut syarikat mengorbankan sebahagian keuntungan jangka pendek bagi merebut peluang pertumbuhan pada masa depan.

Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan dalam perniagaan perlu dibuat berdasarkan strategi dan bukannya sekadar mengejar trend.

“Tidak membuat perubahan juga boleh menjadi satu risiko,” katanya.

Lau pada masa sama menasihatkan usahawan supaya tidak menjadikan penyenaraian sebagai matlamat hanya kerana melihat syarikat lain memilih laluan berkenaan.

“Perkara paling penting ialah mengetahui di mana matlamat hidup dan kepuasan diri anda,” katanya.

Listing Strategy Summit anjuran Persekutuan Syarikat Tersenarai Awam Berhad (FPLC) menghimpunkan pemimpin perniagaan serta wakil institusi profesional dan pendidikan bagi membincangkan antaranya pasaran modal, pewarisan perniagaan keluarga, tadbir urus korporat, strategi jenama, modal insan dan pertumbuhan mampan.

Berita Berkaitan