PGA bongkar kegiatan disyaki seleweng 15,000 liter diesel subsidi di Tawau

TAWAU: Kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan kira-kira 15,000 liter bahan api itu dalam operasi pemantauan dan risikan di Jalan Sin On Tiku, di sini.

Dalam kejadian pada Selasa, PGA menyerahkan kes berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

KPDN Tawau dalam kenyataan memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan peralatan yang disita dianggarkan RM112,050.

Menurutnya, antara peralatan yang disita ialah dua tangki berwarna hijau, dua gulung hos paip bersaiz satu inci dengan anggaran panjang masing-masing 10 dan lima meter serta dua set pam jenama Piusi dan K-44.

“Kes ini diserahkan oleh PGA kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau susulan pemantauan dan risikan yang dijalankan di sekitar Jalan Sin On Tiku.

“Sebanyak 15,000 liter minyak diesel bersubsidi disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

KPDN Tawau memaklumkan, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“KPDN Tawau komited membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara.

“Sebarang cubaan menyeleweng atau menyalahgunakan minyak diesel adalah kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690 atau mengemukakan aduan melalui saluran rasmi kementerian.

Berita Berkaitan