PKR perlu muhasabah, jangan salahkan pengundi – AMK
MELAKA: PKR perlu berani bermuhasabah susulan keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan tidak menyalahkan pengundi atas kekalahan yang dialami.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Ahmad Munim berkata kekalahan perlu dijadikan ruang untuk parti melakukan refleksi serta mencari punca mengapa sebahagian rakyat masih belum yakin terhadap PKR.
“Jangan salahkan rakyat sama sekali, jangan marah kepada pengundi kerana mereka tidak memilih kita. Rakyat tidak berhutang undi kepada mana-mana parti, kitalah yang berhutang penjelasan kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional AMK di Melaka.
Beliau berkata PKR juga perlu memberikan jawapan lebih meyakinkan terhadap naratif yang membangkitkan kebimbangan mengenai kedudukan Melayu dan Islam di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kegagalan menjawab keresahan masyarakat boleh membuka ruang kepada pihak lain mengisi kekosongan itu dengan politik ketakutan dan kecurigaan.
Muhammad Kamil berkata PKR sebaliknya perlu menawarkan “politik keyakinan” dengan memastikan kepentingan Melayu dan kedudukan Islam terus terpelihara dalam kerangka Malaysia yang adil serta menghormati kepelbagaian.

