Polis kesan murid 12 tahun hilang selepas diturunkan di sekolah
KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas diturunkan di hadapan sekolahnya di Likas, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Gwynne Mia Erbin, berbangsa Lundayeh, dilaporkan hilang pada 27 Julai selepas dihantar ke hadapan SMK Lok Yuk, Likas kira-kira jam 5.55 pagi.
Menurutnya, murid itu bagaimanapun didapati tidak hadir ke sekolah dan sehingga kini masih belum dapat dikesan.
“Kanak-kanak itu berbadan sederhana, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 155 sentimeter, bermata coklat, berbulu kening tebal, berambut hitam pendek dan mempunyai bibir tebal.
“Ketika kali terakhir dilihat, dia memakai pakaian seragam sekolah jenis pinafore berwarna biru, kasut putih serta membawa beg berwarna putih bercorak bunga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ahli keluarga sudah menjalankan pelbagai usaha pencarian termasuk membuat hebahan menerusi kumpulan WhatsApp keluarga dan komuniti, namun mangsa masih belum ditemui.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Gwynne diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Kamarul Rashdan bin Suffian Long di talian 014-8458490 bagi membantu siasatan.
Katanya, kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu mengesan murid berkenaan.

