Polis nafi lelaki bersenjata masuk Semporna, Lahad Datu

KOTA KINABALU: Polis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya sekumpulan lelaki bersenjata memasuki Semporna dan Lahad Datu.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana situasi keselamatan di kawasan berkenaan berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, ESSCOM sentiasa menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan, khususnya di kawasan perairan serta lokasi strategik dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

“Langkah berkenaan termasuk pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang ancaman atau aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk dan kawasan perairan Sabah Timur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat berkaitan ancaman keselamatan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pengesahan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa sekumpulan lelaki bersenjata tiba di Semporna dan Lahad Datu.

Berita Berkaitan