Polis siasat dakwaan murid dibuli, ditendang rakan sekolah

KOTA KINABALU: Polis menyiasat dakwaan kejadian buli dan serangan fizikal membabitkan dua murid sekolah rendah yang didakwa ditendang oleh rakan sekolah mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan dibuat oleh bapa kedua-dua mangsa pada 7 Julai selepas mendakwa anak-anaknya sering diganggu dan diserang secara fizikal oleh seorang murid lelaki.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang di bahagian belakang kepala, manakala adiknya pula didakwa ditendang di bahagian perut pada keesokan hari.

“Mangsa perempuan mengalami sakit kepala manakala mangsa lelaki berada dalam keadaan trauma dan ketakutan,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti suspek, merakam percakapan saksi serta mendapatkan laporan pemeriksaan perubatan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan.

Berita Berkaitan