Proton Persona terbabas, terbakar: Seorang maut, seorang kritikal

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an maut manakala seorang lagi kritikal selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Bulatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Bundusan, di sini, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.21 pagi itu, pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpangnya yang juga berusia lingkungan 20-an ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 4.21 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.27 pagi dan mendapati sebuah Proton Persona terbabas sendiri sebelum terbakar.

“Terdapat dua mangsa lelaki terlibat dan pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat khas,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Katanya, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang tidak sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa yang dilaporkan dalam keadaan kritikal kemudian diserahkan kepada ambulans KKM untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat membabitkan lapan anggota BBP Penampang itu diketuai PBK I Benny Lim.

Turut membantu operasi ialah lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM.

Operasi berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.46 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan