Remaja 19 tahun maut, motosikal langgar kereta buat pusingan U

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Axia yang sedang membuat pusingan U di hadapan Rastamas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.33 tengah hari itu, dua wanita yang menaiki kereta berkenaan turut mengalami kecederaan ringan, dengan seorang daripadanya tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba tujuh minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan motosikal Honda RS.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan berlaku ketika kereta Perodua Axia membuat pusingan U sebelum dilanggar motosikal berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Penumpang wanita tersepit

JBPM Sabah memaklumkan, penumpang wanita berusia 40 tahun tersepit di tempat duduk hadapan sebelah pemandu, manakala pemandu wanita berusia 31 tahun berjaya keluar sebelum bomba tiba.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik (spreader) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 1.01 tengah hari sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, penunggang motosikal berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK I Ahmad Pramuja Zainadun dengan kekuatan lima anggota BBP Tawau, dibantu petugas KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.14 tengah hari selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan di lokasi kejadian.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan