Rempuh farmasi, kenderaan lain berulang kali, warga emas didenda RM10,000
TAWAU: Seorang lelaki warga emas didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu secara cuai sehingga merempuh sebuah farmasi dan kenderaan lain dalam kejadian yang tular di media sosial bulan lalu.
Tertuduh, Chin Soon Sang, 60, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mahkamah turut memerintahkan butiran kesalahan itu dicatatkan pada lesen memandu tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Chin didakwa memandu kenderaan tanpa cermat dan perhatian sewajarnya di Lorong Bintang Shophouse 8, Batu 3, Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 3.30 petang pada 29 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, selain catatan kesalahan pada lesen memandu, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh dipercayai menekan pedal minyak terlalu kuat sehingga keretanya meluru ke hadapan dan merempuh bahagian hadapan sebuah farmasi.
Tertuduh kemudian cuba mengundurkan kenderaan, namun terlanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan bersebelahan.
Perbuatan itu berulang beberapa kali sebelum kereta dipandunya akhirnya berhenti dan tidak lagi dapat bergerak.
Akibat kejadian, bahagian hadapan farmasi termasuk panel kaca mengalami kerosakan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM20,000.
MPV yang dirempuh turut mengalami kerosakan pada bahagian hadapan termasuk bampar, bonet, kedua-dua panel sisi hadapan, lampu utama kiri, radiator serta kondenser penyaman udara.
Sebelum ini, rakaman video kejadian membabitkan seorang warga emas yang merempuh premis perniagaan ketika meninggalkan sebuah klinik di Tawau menjadi tular di media sosial.
— SABAH NEWS TODAY

