RM100,000 baik pulih dewan, perluas parkir Kampung Warisan

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM100,000 bagi melaksanakan kerja baik pulih dewan dan meluaskan kawasan parkir di Kampung Warisan, Sepanggar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kedua-dua projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Menurutnya, RM50,000 diperuntukkan untuk kerja baik pulih dewan, manakala RM50,000 lagi bagi meluaskan kawasan parkir.

“Projek ini dibuat untuk memberikan keselesaan kepada penduduk kampung supaya mereka dapat menggunakan dewan dalam keadaan lebih kondusif pada masa akan datang.

“Kita juga akan meluaskan ruang parkir bertar di kawasan dewan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Darau @ Sepanggar 2026 di Padang Kampung Warisan, di sini, Sabtu.

Mustapha berkata, cadangan projek berkenaan akan dikemukakan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sebelum diselaraskan ICU JPM.

Dalam pada itu, beliau memuji penganjuran program berkenaan yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyampaikan perkhidmatan terus kepada masyarakat.

Katanya, pengunjung turut mendapat khidmat nasihat dan maklumat sahih berhubung insentif kerajaan MADANI serta Kerajaan Negeri Sabah.

Program itu turut menjadi platform penyampaian insentif sekali bayar daripada Parlimen Sepanggar kepada bakal mahasiswa universiti, institusi TVET dan matrikulasi yang akan mendaftar tidak lama lagi.

Sebanyak 29 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam program berkenaan selain pelbagai aktiviti termasuk servis motosikal dan gunting rambut percuma, pertandingan mewarna, e-sukan, tarik tali serta gusti lengan.

Berita Berkaitan