Sabah berpotensi jadi hab ekonomi kreatif negara, kata Nizam
KOTA KINABALU: Sabah berpotensi muncul sebagai antara hab ekonomi kreatif penting negara berdasarkan kekuatan bakat tempatan, kepelbagaian budaya serta keunikan lokasi dan cerita yang dimiliki negeri ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan telemovie Aku, Kau dan Dia terbitan Del Films Production membuktikan penggiat kreatif tempatan mampu menghasilkan karya berkualiti yang berpotensi menembusi pasaran lebih luas.
Menurutnya, ekonomi kreatif bukan sekadar sektor hiburan, sebaliknya mampu menjana pekerjaan dan pendapatan melalui rantaian industri termasuk kru produksi, tenaga teknikal, pengangkutan, penginapan, makanan serta perkhidmatan sokongan.
“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi pengguna karya. Kita mahu Sabah menjadi pencipta karya,” katanya ketika berucap pada majlis berkaitan penerbitan telemovie berkenaan.
Nizam berkata Sabah mempunyai kelebihan dari segi alam semula jadi, budaya, adat, makanan dan kepelbagaian masyarakat yang boleh diketengahkan melalui filem, drama serta kandungan kreatif.
Katanya, kandungan yang dihasilkan juga boleh menjadi medium untuk mempromosikan pelancongan dan memperkenalkan identiti Sabah kepada khalayak di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut menyeru lebih ramai anak muda Sabah menceburi bidang kreatif secara profesional, selain mahu kerjasama antara kerajaan, FINAS, pemain industri dan sektor swasta diperkukuh.
Menurutnya, karya dari Sabah perlu bukan sahaja menonjolkan identiti tempatan, tetapi mempunyai nilai penceritaan yang mampu menarik penonton lebih luas.

