Sabah dijangka raih 40% bahagian projek FLNG, kata Hajiji

KALABAKAN: Sabah dijangka memperoleh 40 peratus bahagian menerusi projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di negeri ini menerusi perjanjian yang bakal dimeterai bersama PETRONAS dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata perkembangan itu merupakan antara hasil penting kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, selain kesinambungan perjanjian yang dimeterai sebelum ini bagi meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.

Beliau berkata, Sabah turut akan menerima 20 peratus bahagian daripada pembangunan lapangan minyak dan gas baharu yang ditemui PETRONAS di perairan Sandakan.

“Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan PETRONAS dan dalam beberapa bulan ini kita akan menandatangani satu lagi perjanjian yang membolehkan Sabah memperoleh 40 peratus daripada projek floating gas di Sabah.

“Di Sandakan pula, PETRONAS sudah menemui satu lapangan minyak dan gas dan Sabah akan menerima 20 peratus bahagian daripada projek itu,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan.

Hajiji berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan membolehkan lebih banyak manfaat pembangunan disalurkan kepada Sabah.

Beliau turut berkata dasar mesra pelabur yang diperkenalkan kerajaan negeri berjaya menarik minat pelabur asing, termasuk hampir 40 diplomat dan pesuruhjaya tinggi yang mengadakan kunjungan ke Sabah sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Menurutnya, kawasan perindustrian seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini hampir mencapai kapasiti maksimum, sekali gus mendorong kerajaan membangunkan kawasan industri baharu termasuk di POIC Pantai Timur dan taman industri berasaskan ekonomi biru.

Berita Berkaitan