Sabah FC tampil identiti baharu, lancar jersi bermotif etnik
KOTA KINABALU: Sabah FC tampil dengan identiti baharu menjelang saingan Liga Malaysia 2026/2027 selepas melancarkan jersi rasmi pasukan yang menampilkan rekaan bermotifkan etnik Sabah, hari ini.
Majlis pelancaran berlangsung di Sportmart, Suria Sabah dan turut menyaksikan pengenalan Carino sebagai penaja utama jersi Sabah FC bagi musim baharu.
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang berkata, jersi berkenaan bukan sekadar pakaian yang digunakan ketika beraksi, sebaliknya membawa identiti, semangat perjuangan dan kebanggaan rakyat Sabah.
“Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan, tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah.
“Kami mahu para pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang,” katanya.
Awang Kadin turut merakamkan penghargaan kepada Carino atas kepercayaan serta komitmen diberikan kepada Sabah FC.
Menurutnya, kerjasama dengan pihak korporat penting dalam membantu kelab bergerak ke arah pengurusan lebih profesional dan kompetitif.
Beliau berharap Sabah FC mampu mencipta kejayaan di atas padang selain terus menjadi sebuah kelab yang membanggakan seluruh rakyat negeri ini.
Selepas pelancaran, penyokong turut berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan barisan pemain Sabah FC bagi musim 2026/2027.
Sabah FC bakal memulakan kempen Liga Super dengan menerima kunjungan Star City FC di Stadium Likas, Ahad ini.

