Sabah mahu tingkat SSL beras kepada 30% menjelang 2030

Sabah mahu tingkat SSL beras kepada 30% menjelang 2030

KENINGAU: Kerajaan Sabah menyasarkan kadar Sara Diri (SSL) beras negeri ini meningkat kepada kira-kira 30 peratus menjelang tahun 2030 melalui pembukaan semula sawah padi terbiar dan peningkatan hasil pengeluaran menggunakan teknologi moden.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini Sabah hanya merekodkan SSL sekitar 19 peratus, sekali gus masih bergantung kepada bekalan beras dari luar negara.

Menurut beliau, usaha meningkatkan pengeluaran tempatan penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara pengeksport seperti Vietnam dan Thailand yang berdepan pelbagai ketidaktentuan.

Katanya, Sabah memiliki kira-kira 4,000 hektar sawah padi terbiar dan kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 hektar dibangunkan semula menjelang 2030.

“Selain membuka semula sawah terbiar, kita juga mahu meningkatkan hasil pengeluaran daripada tiga tan sehektar kepada lima hingga enam tan sehektar melalui penggunaan teknologi, dron dan mekanisasi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang menangani isu kekurangan bekalan air di beberapa skim pengairan termasuk Kepayan Baru, Penagatan, Bingkor dan Bumburing II.

Jamawi berkata, pihaknya turut menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap operasi kuari berhampiran sistem pengairan kerana aktiviti itu dikenal pasti menjadi antara punca kerosakan infrastruktur sawah.

Berita Berkaitan