Sabah perkukuh sokongan kesihatan mental remaja
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkukuh sokongan kesihatan mental di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti berikutan peningkatan kes kemurungan serta rasa kesunyian dalam kalangan remaja.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, berdasarkan National Health and Morbidity Survey (NHMS), prevalens kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia meningkat daripada 17.7 peratus pada 2012 kepada 26.9 peratus pada 2022.
Menurutnya, remaja yang melaporkan berasa kesunyian turut meningkat daripada 8.1 peratus kepada 16.2 peratus dalam tempoh sama.
“Perkembangan ini memerlukan kita memperkukuh sokongan kesihatan mental di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti,” katanya ketika merasmikan Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Sabah sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Dewan Rafflesia Politeknik.
Beliau berkata, Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) terus diperkasa bagi membantu menangani kecelaruan mental serta menyediakan perkhidmatan kaunseling.
Katanya, program saringan kesihatan mental dan fizikal turut dilaksanakan di sekolah serta komuniti, termasuk kempen kesedaran, saringan di kawasan luar bandar dan Program Sabah Sihat.
Julita berkata, usaha itu turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ).
Dalam pada itu, beliau berkata Sabah turut berdepan fenomena penuaan penduduk yang memerlukan perancangan rapi, termasuk sistem sokongan mesra usia, penjagaan kesihatan, persekitaran komuniti dan sokongan keluarga yang mampan.

