Sabah Smart Card buka potensi baharu ekonomi digital, pelancongan

KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) dan MSH Mega Tech Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan MAGEBS (Sabah) Smart Card dan ekosistem digital yang berpotensi memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam sektor pelancongan.

Kerjasama itu turut menyasarkan pembentukan jaringan yang menghubungkan komuniti, peniaga, produk tempatan dan pengalaman budaya menerusi penggunaan teknologi digital.

Yang Dipertua MAGEBS, Datuk Abdullah Sibil berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar pembangunan sebuah kad pintar, tetapi berpotensi menjadi platform yang menghubungkan pelbagai komponen ekonomi Sabah.

“Yang lebih penting ialah ekosistem yang boleh dibina di sebalik kad tersebut dan bagaimana teknologi dapat digunakan untuk menghubungkan pelancong, komuniti, usahawan, merchant serta pengalaman budaya Sabah,” katanya.

Menurutnya, jaringan MAGEBS yang merangkumi 36 persatuan etnik Bumiputera Sabah boleh dimanfaatkan untuk memperluas penyertaan komuniti dalam ekonomi digital dan industri pelancongan.

MAGEBS (Sabah) Smart Card sedang diteroka untuk merangkumi penggunaan digital bagi pelancong, jaringan peniaga dan perniagaan tempatan, promosi produk serta perkhidmatan, selain penyertaan usahawan dalam ekosistem berkenaan.

Bagaimanapun, MAGEBS menjelaskan pemeteraian MoU itu bukan pelancaran rasmi Smart Card, sebaliknya menjadi asas untuk kedua-dua pihak memperincikan model komersial, aspek teknikal, tadbir urus dan struktur pelaksanaannya.

Kerjasama itu akan dibangunkan secara berperingkat sebelum pelaksanaan inisiatif berkenaan dimuktamadkan.

Berita Berkaitan