Sabah teliti perluas Kinabalu UNESCO Global Geopark ke Tuaran

TUARAN: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan memperluaskan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) bagi merangkumi sebahagian daerah Tuaran susulan penemuan potensi geologi, biodiversiti dan warisan budaya di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penemuan awal Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) pada April tahun lalu menunjukkan Tuaran mempunyai keunikan geologi, kekayaan biodiversiti, warisan budaya serta pengetahuan komuniti yang bernilai.

Menurutnya, aset berkenaan perlu dikaji dan didokumentasikan secara terperinci sebelum dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam kerangka pemuliharaan dan pembangunan mampan KUGGp.

Langkah itu, katanya, turut berpotensi memperkukuh keterhubungan ekologi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan ekopelancongan di Sabah.

Hajiji berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, pada majlis penutupan Misi Penilaian Semula KUGGp di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, hari ini.

Pada masa ini, KUGGp meliputi kira-kira 4,750 kilometer persegi, merangkumi Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan Pelan Pengurusan Kinabalu UNESCO Global Geopark 2026–2035, menggantikan Pelan Pengurusan Interim 2021–2025 dengan memberi tumpuan kepada pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.

Hajiji menegaskan pengiktirafan UNESCO bukan sekadar membawa prestij antarabangsa, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan sosial yang mampan kepada komuniti setempat.

Berita Berkaitan