Sedco terajui pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat
KUDAT: SEDCO akan menerajui pembangunan Projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) di Kudat yang disasarkan menjadi hab ekonomi serantau berimpak tinggi di Asia Tenggara.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, projek berasaskan pembangunan maritim dan teknologi hijau itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut beliau, projek itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri makanan laut, logistik perdagangan dan sektor maritim bernilai tinggi.
Katanya, kerja awal melibatkan penyediaan pelan induk serta pengukuran tapak seluas 1,205 ekar di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut telah dimulakan, manakala kawasan tambahan seluas 3,129 ekar di Matunggung, Banggi dan Tanjung Kapor turut dikenal pasti bagi menyokong pembangunan tersebut.

Masiung berkata, lokasi strategik Kudat yang berhampiran China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai hab perdagangan maritim serantau, di samping memperkukuh industri perikanan laut dalam serta pembangunan infrastruktur pesisir pantai.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dan sesi libat urus mengenai cadangan teknologi BEIP di Pejabat Daerah Kudat, Khamis

