Selangor singkir Sabah, mara suku akhir Piala FA
PETALING JAYA: Selangor FC menundukkan Sabah FC 2-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 2026/2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 4-3.
Perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penyokong susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Meskipun stadium sepi, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terbuka dan saling berbalas serangan sejak awal permainan.
Selangor membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi Eduardo Jose Sosa selepas percubaannya gagal diselamatkan penjaga gol Sabah FC, Juan Flere.
Sabah bangkit pada babak kedua apabila Park Jungbin menyamakan kedudukan pada minit ke-49.
Namun, Selangor kembali di depan pada minit ke-56 menerusi Chrigor Moraes yang menyempurnakan bola muntah selepas sepakan penalti pasukannya terlebih dahulu berjaya ditepis Juan Flere.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor mara dengan agregat 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas.

