Setia pada parti, bukan kejar jawatan – Jaujan

RANAU: Setia kepada perjuangan, bukan mengejar jawatan atau kepentingan diri.

Itu mesej Naib Presiden WARISAN, Datuk Dr Jaujan Sambakong kepada ahli parti ketika WARISAN memperkukuh barisan menjelang PRU akan datang.

Katanya, mempunyai ramai ahli sahaja tidak mencukupi sekiranya parti gagal membina kesetiaan dan perpaduan di semua peringkat. 

“Kualiti kesetiaan ahli dan cawangan adalah lebih utama berbanding jumlah keahlian semata-mata,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan Sesi 2026-2029 WARISAN Bahagian Parlimen Ranau. 

Jaujan turut mengingatkan perwakilan supaya memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan benar-benar komited menguatkan parti, bukannya mengutamakan kepentingan sendiri.

Beliau pada masa sama berkata WARISAN mahu memperluas sokongan di seluruh Sabah dan menggesa ahli membawa lebih ramai penyokong menyertai parti. 

Menyentuh isu rakyat, Jaujan mendakwa masalah jalan raya, bekalan air, kemiskinan, hospital dan pengangguran masih menjadi cabaran di Sabah, selain mahu isu prasarana diberi perhatian dalam cadangan persempadanan semula kerusi Parlimen. 

Berita Berkaitan