Skuad Antidadah Ranau guna futsal dekati belia

RANAU : Skuad Antidadah Ranau menggunakan sukan futsal sebagai antara pendekatan mendekati golongan belia serta menyampaikan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah.

Pengerusinya, Mohd Syukri Saridih berkata, Kejohanan Futsal Tertutup Ranau 2026, Piala Pengerusi Skuad Antidadah Ranau bukan sekadar menyediakan ruang riadah, malah menjadi platform membina disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan belia.

Katanya, penglibatan dalam aktiviti sukan juga dapat membantu golongan muda menjauhi gejala sosial serta penyalahgunaan dadah.

Kejohanan yang berlangsung pada 5 September lalu di Ranau Extreme Futsal, Marakau, menghimpunkan 16 pasukan dari daerah itu.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Gabungan Belia Ranau, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau dan Ranau Extreme Futsal.

Dalam kejohanan itu, WNB X Tabaru muncul juara, diikuti Desa sebagai naib juara, manakala Liwagu A menduduki tempat ketiga.

Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai belia memilih aktiviti sihat dan bermanfaat, selain memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Berita Berkaitan