Sukarelawan turun padang, bergotong-royong bersihkan Kampung Tanjung Aru Baru
KOTA KINABALU: Semangat kebersamaan sekumpulan sukarelawan yang sanggup mengerah tenaga membersihkan kawasan Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, mendapat perhatian di media sosial.
Aktiviti gotong-royong itu menyaksikan peserta berganding bahu mengutip sampah, mengalihkan bahan buangan dan membersihkan kawasan persekitaran kampung berkenaan.
Usaha murni itu dikongsikan pengguna Facebook, Adwin Lee, menerusi hantaran berserta beberapa gambar yang memaparkan sukarelawan sedang menjalankan kerja pembersihan.
Adwin menerusi perkongsian berkenaan meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan aktiviti terbabit.
“Saya baru sahaja selesai menjalankan aktiviti pembersihan yang sangat bermakna di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu. Sungguh menakjubkan melihat apa yang mampu kita capai apabila bekerjasama.
“Marilah kita terus memastikan komuniti kita kekal bersih dan indah,” katanya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, peserta dilihat memakai sarung tangan dan kasut but ketika membersihkan kawasan yang dipenuhi tanah serta bahan buangan.
Ada antara mereka turut menggunakan peralatan pembersihan bagi mengutip dan mengumpulkan sampah di sekitar kawasan berkenaan.
Perkongsian itu turut mendapat reaksi pengguna media sosial yang memberikan perhatian terhadap usaha sukarelawan menjaga kebersihan persekitaran.
Inisiatif berkenaan membuktikan semangat gotong-royong masih menjadi amalan penting dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi memastikan kawasan penempatan sentiasa bersih dan selesa.
Bagaimanapun, jumlah peserta dan pihak penganjur program berkenaan tidak dinyatakan dalam hantaran itu.

