Survey Camp perkasa kemahiran pelajar UMS
KOTA KINABALU: Seramai 63 pelajar Tahun Dua Program Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kompetensi praktikal dalam bidang ukur kejuruteraan menerusi program Survey Camp SCMMXXVI yang berlangsung di Kundasang, baru-baru ini.
Program anjuran Fakulti Kejuruteraan (FKJ) di bawah kursus KA20801 Survey Camp itu diketuai Pensyarah Kanan FKJ, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Asmawan Mohd. Sarman serta turut membabitkan beberapa warga akademik fakulti berkenaan.
Menurut kenyataan FKJ, program itu memberi peluang kepada pelajar menghubungkan teori dipelajari dalam bilik kuliah dengan aplikasi sebenar menerusi pembelajaran berasaskan amali di lapangan.
Sepanjang program, pelajar menjalankan pelbagai aktiviti termasuk Open Traverse Survey, Closed Traverse Survey, Levelling, Tacheometry, Detail Survey, Setting Out dan As-Built Survey, selain menghasilkan reka bentuk digital menggunakan Autodesk Revit.
Pelajar turut mengumpul, menganalisis dan memproses data lapangan menggunakan AutoCAD serta QGIS untuk menghasilkan pelan traverse, peta kontur, lukisan kejuruteraan dan cadangan susun atur tapak.
Selain itu, sesi pembentangan projek dan Individual Field Test diadakan bagi menguji kemahiran pelajar mengendalikan peralatan ukur, melakukan pengukuran lapangan serta menyelesaikan tugasan kejuruteraan dalam situasi sebenar, sekali gus meningkatkan keyakinan diri, pemikiran kritis, komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.
Program berakhir dengan pengiktirafan pencapaian pelajar menerusi beberapa kategori termasuk Survey Race, Pertandingan Poster Individu, Pertandingan Video Montaj Berkumpulan, Best Group Survey Camp, Best Individual Male dan Best Individual Female.

