Tambang Sabah-Semenanjung tinggi: Aliakbar hantar surat kepada PM

KOTA KINABALU – Isu tambang penerbangan yang tinggi antara Sabah dan Semenanjung perlu ditangani segera kerana semakin memberi kesan kepada kehidupan serta pergerakan rakyat antara kedua-dua wilayah.

ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berhubung perkara itu.

Menurutnya, pejabat ADUN Karambunai menerima pelbagai maklum balas termasuk daripada guru yang menghadapi kesukaran membawa murid menyertai pertandingan dan acara sukan di Semenanjung kerana kos perjalanan.

“Kerajaan Malaysia mesti mengambil berat isu ini kerana ia melibatkan urusan rakyat antara dua wilayah,” katanya.

Aliakbar berkata, pelajar Sabah di Semenanjung turut terkesan apabila tambang tinggi menyukarkan mereka pulang bertemu keluarga, manakala anggota tentera juga menghadapi masalah sama ketika mahu bercuti bersama keluarga.

Beliau berharap kerajaan mengambil tindakan segera dan mencari penyelesaian supaya kos penerbangan tidak terus menjadi penghalang kepada mobiliti rakyat serta hubungan antara Sabah dengan Semenanjung.

Berita Berkaitan