Terjun laut, tinggal syabu RM550,000
SEMPORNA: Seorang lelaki sanggup terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan selepas menyedari kehadiran Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, di sini.
Komander PPM W4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejadian kira-kira 1.45 pagi pada 10 Ogos itu berlaku ketika pasukan bertindak atas maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah sebelum mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ketika anggota cuba menghampiri bot, lelaki berkenaan terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan. Usaha mengesan suspek dilakukan namun gagal menemuinya.
Pemeriksaan terhadap bot ditinggalkan menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat kasar 11.06 kilogram.
Dadah berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM550,000, manakala keseluruhan rampasan termasuk bot melebihi RM578,000.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala PPM W4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan rondaan bersama JSJN Sabah bagi membanteras pengedaran serta penyeludupan dadah.

