Tiga gudang, 12 kenderaan hangus dijilat api di Penampang
PENAMPANG: Tiga blok gudang menyimpan barangan plastik musnah sepenuhnya, manakala 12 kenderaan hangus dalam kebakaran di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini.
Kebakaran kira-kira jam 10.25 malam itu memusnahkan empat van, empat kenderaan pacuan empat roda, dua lori lima tan, sebuah kereta kompak dan sebuah motosikal.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.29 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba empat minit kemudian dan mendapati api sedang marak membakar tiga blok gudang terbabit.
“Ketiga-tiga blok gudang jenis kekal yang masing-masing berkeluasan kira-kira 279 meter persegi musnah 100 peratus.
“Sebanyak 12 kenderaan yang berada di kawasan gudang turut hangus sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Pisar berkata, bantuan daripada BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan turut digerakkan bagi membantu memadam kebakaran.
Menurutnya, seramai 29 anggota bomba bersama jentera pemadam dan lori tangki air terbabit dalam operasi berkenaan.
“Api berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah malam selepas hampir dua jam usaha pemadaman dijalankan.
“Kerja pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada lagi api di kawasan gudang terbabit,” katanya.
Operasi itu turut mendapat bantuan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.
— SABAH NEWS TODAY

