Tiga rentung, seorang melecur dalam kebakaran rumah

KOTA KINABALU: Tiga individu ditemukan rentung manakala seorang lagi cedera melecur dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Darau, Menggatal, awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.43 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Komander Operasi, PBK II Rayner Ampayak berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 40 kaki x 40 kaki yang terbakar 100 peratus.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa ditemukan dalam keadaan rentung manakala seorang lagi mengalami kecederaan melecur,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang wanita berusia 67 tahun, lelaki 53 tahun dan wanita 29 tahun.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 34 tahun mengalami kecederaan melecur dan dibawa menggunakan jentera EMRS ke hospital untuk rawatan lanjut.

Seramai 17 anggota terbabit dalam operasi dengan bantuan PDRM, KKM dan Sabah Electricity.

Operasi ditamatkan pada jam 5.19 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Berita Berkaitan