Tiga tan syabu bernilai lebih RM70 juta diseludup melalui pangkalan TUDM
KUALA LUMPUR: Tiga tan syabu bernilai lebih RM70 juta dikenal pasti diseludup keluar menerusi dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Tawau dan Labuan sejak dua tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan penyeludupan dadah itu membabitkan 21 transaksi menerusi kedua-dua pangkalan berkenaan.
Katanya, tujuh transaksi dikenal pasti menerusi Pangkalan TUDM Tawau, manakala 14 lagi menerusi Pangkalan TUDM Labuan.
“Sebanyak tujuh transaksi dengan syabu seberat 1.8 tan, membabitkan nilai RM9.3 juta (diseludup keluar dari) sel Tawau.
“Di Labuan pula, sebanyak 14 transaksi sudah berlaku sejak Ogos 2024, membabitkan syabu seberat 1.2 tan dengan nilai RM63 juta,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai perincian hasil risikan serta dakwaan kegiatan sindiket penyeludupan dadah berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama.
Berdasarkan angka yang didedahkan itu, keseluruhan nilai dadah yang diseludup menerusi kedua-dua pangkalan berkenaan mencecah RM72.3 juta.
Berita lanjut menyusul.

