Tragedi kontena di Sepanggar: Aliakbar mahu tindakan segera elak kejadian berulang

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani isu parkir lori treler dan kontena di sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar susulan tragedi yang meragut dua nyawa pada Ahad.

Beliau berkata, kejadian sebuah Toyota Avanza dihempap lori treler bersama kontena yang terbalik itu perlu dijadikan pengajaran serius kepada semua pihak mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.

Menurutnya, keberadaan lori treler dan kontena yang diparkir di sepanjang laluan dari Terowong Sepanggar hingga ke Sabah Ports wajar diberikan perhatian segera.

“Keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi, apatah lagi apabila keadaan seumpama ini berpotensi mengundang tragedi yang lebih buruk,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Aliakbar berkata, Sabah Ports, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkaitan perlu mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Katanya, perhatian perlu diberikan kepada pengurusan parkir kenderaan berat, pemantauan keselamatan dan penguatkuasaan peraturan di sepanjang laluan berkenaan.

“Janganlah kita hanya bertindak selepas tragedi berlaku. Langkah pencegahan perlu mendahului penyesalan, kerana setiap nyawa yang terancam membawa risiko kehilangan yang tidak ternilai kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan pengguna jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang tidak boleh dipandang ringan.

“Jadikan kejadian ini pengajaran bersama. Jalan raya mesti kekal selamat untuk semua, dan tanggungjawab mencegah tragedi tidak boleh dibiarkan tergantung.

“Keselamatan rakyat bukan sekadar tuntutan, tetapi amanah yang wajib dipelihara,” katanya.

Dalam kejadian pada petang Ahad, seorang lelaki berusia 53 tahun dan penumpang wanita berusia 24 tahun maut selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap lori treler bersama kontena yang terbalik di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dipercayai berlaku ketika lori treler berkenaan sedang menjalankan kerja menaikkan sebuah kontena dari tepi jalan utama ke atas treler.

Berdasarkan keterangan saksi, berlaku ketidakseimbangan semasa proses itu sehingga menyebabkan lori treler bersama kontena terbalik lalu menghempap Toyota Avanza yang melalui jalan berkenaan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pasukan bomba menggunakan bantuan dua kren untuk mengangkat kontena dan mengeluarkan mereka yang tersepit.

Operasi menyelamat membabitkan 26 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu tamat pada jam 10.30 malam.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan