UMS bawa kepakaran pembedahan otak secara sedar ke Pantai Timur Sabah
TAWAU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperluas program pemindahan kepakaran klinikal ke Pantai Timur Sabah menerusi latihan berkaitan Awake Craniotomy, prosedur pembedahan otak yang membolehkan pesakit kekal sedar pada fasa tertentu ketika pembedahan.
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) berkata, inisiatif di bawah Knowledge Transfer Programme (KTP) itu bertujuan meningkatkan akses kepada latihan klinikal berimpak tinggi serta memperkukuh keupayaan perkhidmatan pembedahan saraf di Sabah.
Program itu antara lain melibatkan Pensyarah Kanan FPSK, Dr. Yeap Boon Tat yang juga Pakar Neuroanestesiologi dan Neurokritikal FPSK serta Hospital UMS (HUMS), yang berkongsi kepakaran pengurusan anestesia bagi prosedur Awake Craniotomy melibatkan seorang pesakit tumor otak di Hospital Tawau.
Menurut FPSK, prosedur itu membolehkan pesakit kekal sedar pada fasa tertentu supaya fungsi neurologi boleh dipantau secara langsung oleh pasukan perubatan ketika pembedahan dijalankan.
Katanya, prosedur berkenaan memerlukan kerjasama rapat antara pakar bius, pakar bedah saraf dan pasukan multidisiplin bagi memastikan keselamatan pesakit serta mencapai hasil pembedahan optimum.
Selain pemindahan kepakaran, program itu memberi pendedahan mengenai teknologi dan teknik terkini dalam bidang neuroanestesiologi serta mengeratkan jaringan kerjasama UMS dengan fasiliti kesihatan di Pantai Timur Sabah.
UMS berkata, program seumpama itu akan terus menyokong pembangunan modal insan dan memperkukuh ekosistem kesihatan Sabah menerusi kerjasama strategik antara institusi akademik dengan penyedia perkhidmatan kesihatan.

