UMS perkasa komuniti melalui projek SULAM

PENAMPANG: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang memacu pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan Projek Denai Pendidikan Lokos-Borot dan Rumah Hijau Kampung Tampasak Babagon.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi berkata, projek yang diterajui Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) itu membuktikan pendekatan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah menjadi platform pemindahan ilmu dan penyelesaian isu sebenar masyarakat.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu di lapangan, sekali gus membentuk graduan yang berkemahiran, berjiwa masyarakat dan mampu menjadi ejen perubahan.

“Universiti tidak boleh bergerak bersendirian. Kerjasama bersama komuniti merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan yang relevan serta memberi impak kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan projek berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga menyokong agenda pembangunan mampan melalui perkongsian kepakaran dalam bidang pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Berita Berkaitan