Wanita PGRS teguh bersama Redonah, tolak politik fitnah

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menegaskan sokongan padu terhadap ketuanya, Datuk Redonah Bahanda yang kekal mendapat mandat dan kepercayaan kepimpinan serta ahli sayap parti itu di seluruh Sabah.

Naib Ketua Pergerakan Wanita PGRS, Datuk Aziah Atoh berkata, pihaknya memandang serius penyebaran poster dan naratif yang cuba mempertikaikan kepimpinan Redonah.

Katanya, Redonah terus mendapat kepercayaan untuk menerajui sayap berkenaan selain memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

“Di bawah kepimpinan beliau, Wanita PGRS terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperluas khidmat kepada rakyat serta memberi perhatian terhadap agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aziah berkata, Wanita PGRS menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menggunakan persepsi, propaganda atau naratif tidak berasas yang didakwa bertujuan melemahkan parti dari dalam.

Menurutnya, Wanita PGRS akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja lapangan, turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan agenda serta perjuangan GRS dan PGRS terus difahami masyarakat.

Beliau turut menyeru seluruh ahli Wanita PGRS supaya kekal tenang dan bersatu serta tidak mudah terpengaruh dengan propaganda atau naratif negatif yang boleh melemahkan semangat dan perpaduan parti.

“Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama,” katanya.

Aziah menegaskan Wanita PGRS akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti, memperkukuh organisasi serta memastikan suara dan khidmat parti terus sampai ke akar umbi.

Berita Berkaitan