Warga asing ditahan disyaki cabul remaja 13 tahun

TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes cabul melibatkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Kalabakan, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan kira-kira jam 9.45 pagi selepas menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, mangsa yang berada di sebuah rumah kedai mendakwa terdengar bunyi seperti kucing sebelum seorang lelaki dengan muka ditutup membuka langsir dan menghampirinya.

“Suspek didakwa naik ke tilam tempat mangsa berada sebelum mangsa menjerit meminta pertolongan dan melawan apabila lelaki itu cuba mendekatinya.

“Mangsa turut mendakwa ditendang sebelum suspek melarikan diri dari lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Rosdi berkata, tindakan susulan membawa kepada penahanan suspek di kawasan Kedai-Kedai Bulatan Kalabakan kira-kira lima jam selepas kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan.

Orang ramai khususnya ibu bapa turut dinasihatkan supaya sentiasa mengambil berat keselamatan anak-anak serta segera menghubungi polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlaku perlakuan yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Berita Berkaitan