Warisan terbuka kerjasama dengan parti tempatan – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan yang sehaluan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keterbukaan itu termasuk mengadakan perbincangan awal dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Menurut Shafie, WARISAN tidak mahu menutup ruang kepada kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada Sabah, namun sebarang persefahaman perlu mempunyai asas dan hala tuju yang jelas.

“Keutamaan kita bukan sekadar kedudukan politik, tetapi pencapaian nilai dan rakyat. Mana-mana kerjasama politik pada masa hadapan mesti mempunyai batasan jelas, jujur serta mengutamakan integriti dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat WARISAN.

Beliau berkata, kesediaan bekerjasama dengan parti tempatan adalah penting kerana terdapat banyak isu bersama yang memerlukan suara Sabah dibawa secara lebih berkesan di peringkat Persekutuan, terutama berkaitan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, pendekatan sama boleh diperluaskan dalam konteks hubungan Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh suara Borneo dalam perkara membabitkan pembangunan, hak negeri serta keperluan rakyat.

Dalam menghadapi PRU, WARISAN kini memperhalusi manifesto ‘Suara Sabah, Hak Sabah’ dan menyusun strategi pilihan raya termasuk kemungkinan bertanding di semua 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Labuan.

Bagaimanapun, perkembangan perbincangan dengan STAR, KDM atau parti tempatan lain bakal menjadi antara perkara penting dalam menentukan bentuk kerjasama dan strategi WARISAN menjelang pilihan raya.

Shafie menegaskan matlamat akhirnya adalah memastikan wakil Sabah mempunyai suara yang cukup kuat di Parlimen untuk membawa aspirasi rakyat negeri ini.

Berita Berkaitan