Enam cedera, lima parah dalam nahas Hilux, Axia di Bundusan

PENAMPANG: Enam individu termasuk tiga kanak-kanak cedera, lima daripadanya parah, dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Axia di Taman Golf View, Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.49 pagi itu, seorang wanita berusia 37 tahun bersama dua kanak-kanak berusia lapan dan lima tahun yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan parah.

Seorang bayi perempuan berusia setahun yang turut berada dalam kereta berkenaan pula dilaporkan cedera ringan.

Dua lelaki yang menaiki Toyota Hilux, termasuk pemandunya berusia 20 tahun, turut mengalami kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.49 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada jam 7.10 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan enam mangsa.

“Empat mangsa berada dalam Perodua Axia, manakala dua lagi menaiki Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lima mangsa mengalami kecederaan parah, manakala seorang bayi perempuan cedera ringan.

“Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Operasi menyelamat diketuai PBK I Mohd Khairul Abd Kohir dengan bantuan anggota polis dan petugas KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.57 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat.

Punca kemalangan masih belum diketahui.

Berita Berkaitan