Enam warga asing kena ‘sapu’ Imigresen Labuan
LABUAN: Enam warga asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menerusi Op Sapu yang dijalankan di sekitar bandar di sini, Rabu lalu.
Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, seramai 47 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan lima warga Filipina dan seorang warga Indonesia.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tahanan ditempatkan di IPD Labuan dan Depot Imigresen Labuan bagi siasatan serta tindakan lanjut.
JIM menegaskan tindakan tegas akan diteruskan terhadap pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk mereka yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.

