Fairlady, 4WD disita dalam Ops Samseng Jalanan

TAWAU: Sebanyak 14 notis saman dikeluarkan manakala dua kenderaan disita menerusi Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi bermula jam 10.30 malam hingga 2 pagi itu dilaksanakan di T2 Jalan Apas, One Arena Jalan Chong Thien Vun serta sekatan jalan raya (SJR) di Batu 2 Jalan Apas.

Menurutnya, sebanyak 80 kenderaan diperiksa membabitkan 30 motosikal, 30 motokar, 18 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan dua lori.

“Seramai 64 individu terdiri daripada 45 lelaki dan 19 wanita turut diperiksa sepanjang operasi.

“Sebanyak 14 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu kelas B2 serta tidak mempamerkan tanda ‘P’,” katanya.

Rosdi berkata, tindakan turut diambil terhadap motokar yang melakukan pengubahsuaian ekzos dan menggunakan lampu selain warna putih.

Dalam operasi sama, polis menyita sebuah Nissan Fairlady dan sebuah 4WD mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua kenderaan akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tindakan susulan menerusi Operasi Extreme,” katanya.

Beliau berkata, empat kenderaan turut diberikan advokasi, manakala tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membendung aktiviti samseng jalanan serta memastikan pengguna mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak.

Berita Berkaitan