Hajiji, Arthur bincang persediaan PRU16, pembangunan Sook-Pensiangan
KOTA KINABALU: Persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) antara perkara dibincangkan dalam pertemuan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Arthur Joseph Kurup di Sri Gaya, pada Khamis.
Pertemuan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah itu turut menyentuh perkembangan politik semasa, khususnya berkaitan kerjasama, kestabilan serta kesinambungan agenda pembangunan negeri.
Arthur yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dilantik sebagai Pengerusi BN Sabah pada Januari lalu.
Selain politik, pertemuan itu turut membincangkan keperluan pembangunan infrastruktur asas bagi masyarakat di kawasan DUN Sook dan Parlimen Pensiangan.
Beberapa perkara berkaitan keperluan komuniti gereja turut diketengahkan termasuk cadangan penubuhan Tribunal Gereja, pembinaan rumah paderi serta pembangunan dan penambahbaikan kemudahan gereja.
Turut dibincangkan ialah bantuan nafkah dan kebajikan kepada paderi yang telah bersara di sekitar Kota Kinabalu serta kawasan berdekatan.
Arthur merupakan ADUN Sook selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 dan turut berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pensiangan.
Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan perkara yang dibangkitkan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan Sabah.

