Hajiji gesa MOTAC bantu jayakan Tahun Melawat Sabah 2027
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempergiat kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berharap kementerian itu terus memberikan sokongan, khususnya dalam memperluas promosi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa.
Harapan itu disuarakan ketika Hajiji menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man bersama delegasi kementerian berkenaan di Menara Kinabalu.
Pertemuan itu turut membincangkan program dan inisiatif MOTAC di Sabah serta perkembangan industri pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Hajiji berkata, kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi memperkukuh industri pelancongan sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
Tahun Melawat Sabah 2027 menjadi platform untuk meningkatkan promosi destinasi pelancongan negeri, selain merancakkan aktiviti ekonomi berkaitan sektor berkenaan.
Turut menyertai delegasi MOTAC ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Hadir sama beberapa pegawai kanan kementerian yang bertanggungjawab terhadap dasar pelancongan, pembangunan prasarana, pelesenan dan pembangunan industri.
— SABAH NEWS TODAY

